Wednesday, November 01, 2006

Telur


TELUR/EGG adalah satu penerbitan sajak secara stensilan yang diusahakan oleh Mansor Ahmad Saman, Latif Kamaluddin dan Latif Mohidin dari USM. Mengikut pengantar editor dalam isu pertama yang ditulis oleh Mansor, "TELUR akan menerbitkan sajak-sajak dalam dua bahasa - Melayu dan Inggeris - dari sesiapa saja yang ingin menulis sajak"

Bagaimana bermulanya cerita penerbitan ini?

"TELUR sebenarnya menetas di kantin 301 bila Latif Kamaluddin dan saya sedang makan tengah hari dan kami berbual tentang drama dan sajak. Kemudiannya, kami mula bercakap-cakap tentang penulisan drama. Lalu kata Latif: Kenapa tidak kita usahakan penulisan sebuah drama bertajuk "Telur"? demikian tulis Mansor.

"Bual punya bual, lama-lama kami bersetuju menerbitkan satu siri penerbitan stensilan bertajuk TELUR. Lantas kami merangkum Latiff Mohidin masuk bersama."

Maka terbitlah TELUR yang pertama pada Oktober, 1978 yang diedarkan percuma. "Selepas ini kami bercadang menjualkan TELUR dengan harga 10 atau 20 sen senaskhah untuk meliputi kos mengeram."

Untuk isu pertama, setebal 15 muka, hanya sajak-sajak Latiff Mohidin (yang dipetik dari kumpulan Sajak-Sajak Pendalaman dalam persediaan), Mansor Ahmad Saman dan Latif Kamaluddin saja diterbitkan. Untuk isu seterusnya diterbitkan juga karya-karya Baha Zain, Sabrihadi, Puzi Hadi dan Abdulaziz HM serta beberapa orang penyair muda lain.

Saya tidak tahu bila TELUR terakhir tergolek keluar. TELUR terakhir yang ada dalam simpanan saya ialah TELUR 10 yang terbit pada Oktober, 1980.

Sebuah sajak saya, "Beberapa Catatan Dalam Gelap dan Pagi" diterbitkan dalam TELUR 3. Saya petik satu rangkap daripadanya:

dia membuka jendela. dia menjemur mimpi
di tali. kemudian ia bercakap-cakap
dengan diri sendiri. alangkah bagusnya
kalau kau tak bersisa
pagi ini.