Friday, May 19, 2006

Masjid Nabawi, Dinihari


Sehabis solat dan zikir, kita pun bergegas keluar
merebut butir-butir waktu, di antara ada dan tiada
dalam diam syahdu, kita pun menatap
qubah hijau di bawah sayap fajar

Masjid Nabawi, dinihari
terlalu hebat kulihat cahayamu
sejuk dan dingin di bawah payung rahmatmu

Tapi betapa lekas tak terduga
warna subuh menipis langit
meninggalkan jejak malaikat di pelupuk pagi

Ah, waktu tidak menunggu kita di sini
kita pun termangu sebelum sempat berkata
sebelum sempat menghabiskan doa.

Wan A. Rafar
Madinah, 1982

(Saya teringat sajak ini (tersiar dalam Berita Minggu, 13 November 1983) setelah membaca laporan Jiwarasa dalam blognya hari ini. Beliau melahirkan kekagumannya sama dengan saya setelah menatap keindahan Masjid Nabawi.)

Tuesday, May 16, 2006

Kerana Cinta

kerana cinta duri menjadi mawar
kerana cinta cuka menjelma anggur segar
kerana cinta pentungan jadi mahkota penawar
kerana cinta kemalangan menjelma keberuntungan
kerana cinta rumah penjara tampak bagaikan kedai mawar
kerana cinta tumpukan debu kelihatan sebagai taman
kerana cinta api yang berkobar-kobar jadi cahaya yang menyenangkan
kerana cinta setan berubah menjadi bidadari
kerana cinta batu yang keras menjadi lembut bagai mentega
kerana cinta duka menjadi riang gembira
kerana cinta hantu berubah jadi malaikat
kerana cinta singa tak menakutkan seperti tikus
kerana cinta sakit jadi sihat
kerana cinta amarah berubah menjadi keramah-tamahan.

Jalaluddin Rumi
(Catatan: Saya sudah lupa sumber sajak ini dan siapa penterjemahnya. Sajak ini saya temui dalam fail bersama sajak-sajak saya.)